Monday, 22 August 2016

MAHASISWA MANDIRI

Persidangan Parlimen Belia baru sahaja melabuhkan tirainya. Sebanyak 4 usul telah diluluskan oleh perwakilan Parlimen Belia. Pelbagai polemik juga timbul pada persidangan kali ini yang menggambarkan kematangan perbahasan oleh Ahli-Ahli Parlimen Belia.
Namun, saya ingin membicarakan mengenai usul terakhir atau usul yang keempat yang dibahaskan oleh persidangan kali ini. Usul mengenai kerajaan harus mempelbagaikan inisiatif bagi meningkatkan keupayaan sara diri mahasiswa. Usul ini telah diluluskan melalui undian dengan 47 perwakilan menyokong dan 39 perwakilan tidak bersetuju. Bagi makluman khalayak umum, ini merupakan kali pertama perwakilan mengambil ketetapan untuk melakukan undian belah bagi & ini juga mengambarkan situasi sebenar bahawa demokrasi sebenar wujud dalam struktur Parlimen Belia. Bukti kepada masyarakat luar bahawa Parlimen Belia bukanlah sidang 'rubber stamp'. Setiap perwakilan mempunyai hak keatas pandangan mereka sendiri.
Berbalik kepada soal usul yang diusulkan oleh Jawatankuasa Pendidikan & Kerjaya, ianya suatu usul yang baik dan mampu merungkai satu persatu permasalahan mahasiswa kini. Pelbagai cadangan penyelesaian telah diberikan oleh para perwakilan. Namun, ianya membawa kepada satu persoalan pokok iaitu soal kemandirian mahasiswa itu sendiri. Kecoh akhir-akhir ini di media massa bahawa mahasiswa ini terlalu manja untuk mandiri. Seolah-olah mahasiswa memerlukan bantuan penuh kerajaan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Persepsi dan dogma ini haruslah ditangkis. Kemandirian mahasiswa itu akan dapat dilaksanakan jika sekiranya mahasiswa itu diberikan ruang dan peluang untuk mereka mandiri. Maka, rasanya sudah tiba masanya mahasiswa diberikan kuasa autonomi keatas diri mereka sendiri. Kuasa autonomi yang saya maksudkan disini adalah soal memberikan ruang kepada mahasiswa untuk menguruskan hal ehwal pentadbiran mereka sendiri. Berikan mereka ruang yang secukupnya untuk mereka mentadbir diri mereka sendiri. Tiada salahnya diwujudkan 3 cabang kerajaan didalam Universiti itu sendiri yang terdiri daripada Parlimen Mahasiswa yang akan menguruskan soal legislatif berkaitan polisi dan dasar mahasiswa, Badan Eksekutif yang akan menguruskan hal ehwal pentadbiran mahasiswa dan Badan Quasi-Judiciary yang akan mengawal selia soal tatatertib dan disiplin Mahasiswa.
Dengan cara ini, mahasiswa tidak lagi dimanjakan, mereka akan dididik dengan rasa tanggungjawab keatas diri mereka sendiri. Ruang demokrasi itu mampu dididik seawal dikampus lagi. Pendedahan demi pendedahan ini mampu melahirkan mahasiswa yang lebih kental dengan cabaran semasa. Berikan juga mereka hak untuk menguruskan bersama tender yang berkaitan mereka seperti tender makanan, pengangkutan dalam kampus dan lain-lain perolehan Universiti. Berikan mereka ruang yang seluas-luasnya nescaya secara tidak langsung membuka ruang untuk mereka meningkatkan keupayaan sara diri mengikut kreativiti mereka sendiri.
Sebagai bekas pemimpin mahasiswa, soal kelangsungan sara diri mahasiswa ini begitu dekat dengan hati saya. Kita harus melihat bahawa mahasiswa merupakan kayu ukur kepada nasib sesuatu bangsa. Pasca-TPPA memerlukan mahasiswa kita bersedia untuk menghadapi cabaran pasaran bebas yang memerlukan mereka untuk berfikir diluar kotak. Kita tidak boleh lagi memandang remeh keupayaan mahasiswa. Kalam akhir buat mahasiswa diluar sana, ayuh bersama-sama kita menjadi insan merdeka!
AHMAD WAFI BIN SAHEDAN
Pengerusi
Jawatankuasa Pendidikan dan Kerjaya
Parlimen Belia Malaysia

Cinta Allah Adalah Cinta Yang Kekal Abadi Selamanya