Monday, 22 August 2016

Tabung Kebajikan

DUNGUN - Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) akan menubuhkan Tabung Kebajikan Permata untuk membantu ahlinya yang kurang berkemampuan terutama bagi menampung perbelanjaan di universiti.
Yang Dipertua Permata, Mohammad Syahiran Annuar berharap dengan tertubuhnya tabung berkenaan isu mahasiswa menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa 'mengikat perut' dapat ditangani segera.
"Permata mempunyai hampir 60,000 ahli dalam dan luar negara. Menerusi tabung ini, kita akan berusaha mendapatkan dana daripada badan korporat dan pelajar yang datang daripada keluarga miskin dan kurang berkemampuan akan kita bantu.
"Permata sememangnya di bawah tanggungjawab Yayasan Terengganu dan ia banyak membantu pelajar Terengganu...tetapi dengan adanya tabung ini Permata akan bergerak sendiri untuk mendapatkan dana demi kebajikan ahli," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Syahiran berkata pihaknya tidak menafikan mahasiswa turut menerima kesan peningkatan kos sara hidup yang berlaku sekarang dan ada antara mereka yang sememangnya tidak berkemampuan khususnya penuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
"Ada betulnya isu ikat perut di universiti awam dan IPTS, tetapi tidak semua mahasiswa menghadapinya. Memang ada pelajar yang betul-betul tidak mampu sebab perbelanjaan di universiti semakin meningkat khususnya yuran, harga barang keperluan dan makanan.
"Memang kebanyakan pelajar mendapat pinjaman, tetapi ia hanya mencukupi untuk yuran setiap semester sahaja dan pelajar terpaksa mencari inisiatif lain bagi mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan seharian di universiti," katanya yang turut menggalakkan mahasiswa menjalankan perniagaan kecil-kecilan.
Dalam pada itu, Syahiran berkata Permata kini dalam proses menubuhkan koperasi untuk membantu kebajikan ahlinya.
"Melalui koperasi ini, kita akan perkenalkan beberapa skim termasuk skim pinjaman mikro, skim takaful dan kelas tuisyen untuk membantu ahli Permata.
"Kini masih menunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menubuhkan koperasi ini," katanya. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/nasional/permata-tubuh-tabung-kebajikan-1.476820
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1209884
Cinta Allah Adalah Cinta Yang Kekal Abadi Selamanya

Konvensyen Mahasiswa PERMATA Terengganu



Konvensyen Mahasiswa PERMATA(Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu) 2016 telah berlangsung pada 19 Februari 2016, bertempat di Dewan Bidara, Hotel Uitm Dungun, Terengganu. Pendaftaran peserta telah bermula seawal 10.00 pagi di Dewan Aspirasi Uitm.
Sebagai pembukaan, penerangan tentang peranan dan komitmen Permata telah disampaikan oleh YBhg Dr Hashim Azmi bin Che Noh, Timbalan Pengarah(Pendidikan) Yayasan Terengganu.
 Majlis Perasmian konvensyen ini telah disempurnakan oleh Y.A.B. DATO' SERI HAJI AHMAD RAZIF BIN ABD.RAHMAN Menteri Besar Terengganu. Serentak dengan itu juga, berlangsung Penyerahan Kertas Cadangan Tabung Kebajikan PERMATA PRIHATIN serta penyampaian Kelulusan KOPERASI PERMATA TERENGGANU BERHAD. 
Antara program yang telah berlangsung adalah pembentangan bertajuk "Masa Depan Pendidikan Negara" oleh YB Senator Tan Sri Prof Dr Ibrahim Shah bin Abu Shah, Ahli Dewan Negara dan Pengerusi Yayasan Minda merangkap Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Malaysia. Sidang pleno perwakilan pula terdiri daripada YBhg Ustaz Rusdi bin Muda(COE Percetakan Yayasan Islam Terengganu), YM Tengku Khairi bin Tengku A. Rahman(Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) YPU Terengganu, YB Mohd Iskandar Jaafar(ADUN Jabi) dan Prof Madya Dr. Azemi bin Che Hamid(Timbalan Rektor HEA Uitm Terengganu).
 Pembentangan kedua bertajuk "Perang Persepsi" dikendalikan oleh YBhg Ustaz Haji Zaki bin Mat Yakim(Penolong Pengarah Tajaan & Transformasi Pendidikan Yayasan Terengganu) sebagai moderator. Manakala ahli panel terdiri daripada YB Dato' Haji Mohd Zubir bin Embong(Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu), YBhg Mohd Ar Rahman Hussin(Exco Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ahli Parlimen Belia WP) dan Mohammad Syahiran bin Annuar (YDP Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu). Turut hadir dalam program ini adalah YB Encik Ghazali bin Taib (Exco Pendidikan Negeri Terengganu) dalan slot Santai Siswa.
  
Terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini.

http://www.yt.gov.my/index.php/en/berita/14-konvensyen-mahasiswa-permata-2016.html

Cinta Allah Adalah Cinta Yang Kekal Abadi Selamanya

Kurang Tepat

Rasa terkilan terhadap beberapa agensi kerajaan negeri yang membelanja peruntukan kerajaan negeri untuk pembangunan mahasiswa tetapi kelihatan 'kurang tepat' dalam memfokus kepada kumpulan yang sepatutnya.
Beberapa agensi tersebut dilihat lebih mengutamakan pemimpin MPP di IPTA yang mempunyai kampus di Terengganu walaupun umum mengetahui bahawa kebanyakkan daripada mereka bukanlah mahasiswa anak Terengganu. Ini dapat dilihat daripada beberapa penganjuran aktivitiagensi-agensi dibawah negeri sepenuhnya itu yang mengambil penyertaan daripada pemimpin MPP melalui HEP IPT masing-masing terus walaupun telah maklum bahawa disetiap IPT terbabit wujud organisasi Permata yang sah.

Seharusnya pihak-pihak terbabit bawalah berbincang dengan kepimpinan Permata terlebih dahulu selaku organisasi mahasiswa rasmi dibawah Yayasan Terengganu yang diiktiraf kerajaan negeri sebagai mewakili kumpulan mahasiswa anak Terengganu. Ini membolehkan sebarang peruntukan dan penganjuran aktiviti disalurkan kepada kumpulan yang sepatutnya.
Bukan berniat untuk bersikap kenegerian atau berfikiran sempit tetapi seharusnya pentadbiran agensi kerajaan negeri mana sekalipun akan mengutamakan rakyat sendiri apabila melibatkan implikasi kewangankerajaan negeri itu sendiri. Ini juga penting agar segala hasil dapatan dan impak program adalah bersifat lokal dan menepati keperluan kerajaanuntuk bersama anak muda negeri ini.
Agensi-agensi ini seharusnya memahami aspirasi YAB Menteri Besar yang cukup dekat dihati mahasiswa Permata. Penghargaan harus diberikan kepada Yayasan Terengganu yang mana setiap program pembangunan mahasiswa pimpinan Permata akan dibawa berbincang dan akan menyerahkan kepada Permata untuk urusan penyertaan. Ini adalah konsep 'Empowerment' atau 'Penghakupayaan' yang dimahukan oleh anak muda.
Kenyataan yang positif dan bertanggugjawab harus disertakan dengan cadangan solusinya. Saya mengambil sikap bersangka baik dengan mengandaikan bahawa agensi-agensi ini mungkin tidak tahu bagaimana mahu berhubung dengan pihak PERMATA. Maka disini, saya dengan rendah hati menyarankan dan berharap agar mana-mana agensikerajaan atau mana-mana NGO di Terengganu yang ingin menjalankan program untuk mahasiswa dapat berhubung dengan Pimpinan PERMATA mahupun melalui Pegawai Sekretariat PERMATA yang telah dilantik melalui telefon atau FB Page Rasmi Sekretriat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu. InshaAllah kita akan sama-sama berusaha kuat dalam memastikan gagasan Transformasi Terengganu Baharu dapat direalisasikan dengan jayanya.
Syahiran Annuar
Yang DiPertua
Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) 15/16.
0179828925 / 096211990
Ditulis pada 10 June 2016

Cinta Allah Adalah Cinta Yang Kekal Abadi Selamanya

MAHASISWA MANDIRI

Persidangan Parlimen Belia baru sahaja melabuhkan tirainya. Sebanyak 4 usul telah diluluskan oleh perwakilan Parlimen Belia. Pelbagai polemik juga timbul pada persidangan kali ini yang menggambarkan kematangan perbahasan oleh Ahli-Ahli Parlimen Belia.
Namun, saya ingin membicarakan mengenai usul terakhir atau usul yang keempat yang dibahaskan oleh persidangan kali ini. Usul mengenai kerajaan harus mempelbagaikan inisiatif bagi meningkatkan keupayaan sara diri mahasiswa. Usul ini telah diluluskan melalui undian dengan 47 perwakilan menyokong dan 39 perwakilan tidak bersetuju. Bagi makluman khalayak umum, ini merupakan kali pertama perwakilan mengambil ketetapan untuk melakukan undian belah bagi & ini juga mengambarkan situasi sebenar bahawa demokrasi sebenar wujud dalam struktur Parlimen Belia. Bukti kepada masyarakat luar bahawa Parlimen Belia bukanlah sidang 'rubber stamp'. Setiap perwakilan mempunyai hak keatas pandangan mereka sendiri.
Berbalik kepada soal usul yang diusulkan oleh Jawatankuasa Pendidikan & Kerjaya, ianya suatu usul yang baik dan mampu merungkai satu persatu permasalahan mahasiswa kini. Pelbagai cadangan penyelesaian telah diberikan oleh para perwakilan. Namun, ianya membawa kepada satu persoalan pokok iaitu soal kemandirian mahasiswa itu sendiri. Kecoh akhir-akhir ini di media massa bahawa mahasiswa ini terlalu manja untuk mandiri. Seolah-olah mahasiswa memerlukan bantuan penuh kerajaan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Persepsi dan dogma ini haruslah ditangkis. Kemandirian mahasiswa itu akan dapat dilaksanakan jika sekiranya mahasiswa itu diberikan ruang dan peluang untuk mereka mandiri. Maka, rasanya sudah tiba masanya mahasiswa diberikan kuasa autonomi keatas diri mereka sendiri. Kuasa autonomi yang saya maksudkan disini adalah soal memberikan ruang kepada mahasiswa untuk menguruskan hal ehwal pentadbiran mereka sendiri. Berikan mereka ruang yang secukupnya untuk mereka mentadbir diri mereka sendiri. Tiada salahnya diwujudkan 3 cabang kerajaan didalam Universiti itu sendiri yang terdiri daripada Parlimen Mahasiswa yang akan menguruskan soal legislatif berkaitan polisi dan dasar mahasiswa, Badan Eksekutif yang akan menguruskan hal ehwal pentadbiran mahasiswa dan Badan Quasi-Judiciary yang akan mengawal selia soal tatatertib dan disiplin Mahasiswa.
Dengan cara ini, mahasiswa tidak lagi dimanjakan, mereka akan dididik dengan rasa tanggungjawab keatas diri mereka sendiri. Ruang demokrasi itu mampu dididik seawal dikampus lagi. Pendedahan demi pendedahan ini mampu melahirkan mahasiswa yang lebih kental dengan cabaran semasa. Berikan juga mereka hak untuk menguruskan bersama tender yang berkaitan mereka seperti tender makanan, pengangkutan dalam kampus dan lain-lain perolehan Universiti. Berikan mereka ruang yang seluas-luasnya nescaya secara tidak langsung membuka ruang untuk mereka meningkatkan keupayaan sara diri mengikut kreativiti mereka sendiri.
Sebagai bekas pemimpin mahasiswa, soal kelangsungan sara diri mahasiswa ini begitu dekat dengan hati saya. Kita harus melihat bahawa mahasiswa merupakan kayu ukur kepada nasib sesuatu bangsa. Pasca-TPPA memerlukan mahasiswa kita bersedia untuk menghadapi cabaran pasaran bebas yang memerlukan mereka untuk berfikir diluar kotak. Kita tidak boleh lagi memandang remeh keupayaan mahasiswa. Kalam akhir buat mahasiswa diluar sana, ayuh bersama-sama kita menjadi insan merdeka!
AHMAD WAFI BIN SAHEDAN
Pengerusi
Jawatankuasa Pendidikan dan Kerjaya
Parlimen Belia Malaysia

Cinta Allah Adalah Cinta Yang Kekal Abadi Selamanya

FIKIRKAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN BELIA LEBIH PENTING DARIPADA HALALKAN GANJA..

Golongan belia merupakan pemangkin kepada perubahan sosial masyarakat masa kini.
Masyarakat belia kini semakin terbuka mindanya bagi menerima pandangan daripada pelbagai aliran pemikiran adalah hasil daripada pendidikan yang mereka lalui.

Justeru tidaklah menghairankan jika pada hari ini, mereka banyak dikaitkan dengan isu-isu sosial utama negara yang memerlukan kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh mereka.
Modal insan berperanan dalam menentukan prestasi sesebuah organisasi atau unit. Ianya juga membantu mencorakkan hala tuju negara. Misalnya jika dalam bangunan modal insan berperanan menguat dan mengukuhkan sesebuah bangunan tersebut.
Jika bahan yang digunakan tidak berkualiti, tidak kukuh dan rapuh pasti bangunan tersebut juga akan roboh. Begitu juga bagi sesebuah organisasi dalam negara. tanpa modal insan yang berkualiti, sesebuah negara akan menjadi semakin lemah kerana faktor sumber manusia yang menjadi pencetus kepada inisiatif baru dalam sosioekonominya.
Justeru para belia perlu diupayakan demi masa hadapan melalui peningkatan akses kepada pendidikan dan latihan selain meningkatkan penyertaan mereka dalam organisasi.
Selain itu perpaduan negara dan integrasi sosial dalam kalangan belia perlu diperkukuhkan agar nilai patriotisme serta jati diri mereka semakin meningkat kecintaanya terhadap tanahair.
Saya berpendapat, agenda pembangunan modal insan belia perlu diberi penekan dalam proses pembangunan negara kita kerana ia menjadi pemangkin yang bakal mencorakkan tahap ketamadunan bangsa kita.
Kita perlu berfikir secara rasional dan bertindak secara produktif. Pendidikan merupakan faktor penting terhadap usaha memartabatkan golongan belia yang merupakan penentu masa hadapan Negara kita..
MOHD ZULKHAIRI BIN SAIDI
AHLI PARLIMEN BELIA MALAYSIA TERENGGANU

Cinta Allah Adalah Cinta Yang Kekal Abadi Selamanya

Ucapan YAB Khaled Nordin seperti ucapan Socrates semasa diminta minum racun. Sangat bagus:

Teks ucapan YAB Dato' Mohamed Khaled Nordin ketika berucap merasmikan Mesyuarat Bahagian UMNO Pagoh.
Tuan-tuan dan Puan-puan
1. Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, atas jemputan pada hari ini. Saya berasa sangat bertanggungjawab untuk hadir.
2. Saya tahu betapa terkesannya UMNO Pagoh susulan beberapa episod yang mendukacitakan, yang melibatkan pemimpin penting bahagian ini.
3. Maka kerana itu, saya perlu hadir. Sebagai Ketua Badan Perhubungan UMNO Negeri, saya mesti tampil ke hadapan. Dan memikul tanggungjawab untuk menjelaskan pendirian UMNO Johor dalam isu yang melibatkan Ketua UMNO Pagoh.
4. Tetapi sebelum saya pergi lebih jauh. Biarlah saya nyatakan satu perkara. Betapa sejujurnya, saya berasa begitu janggal sekali, berkunjung ke Pagoh, tanpa kehadiran dan melihat kelibat Tan Sri Muhyiddin.
5. Pagoh ini sudah terlalu sinonim dengan beliau. Saya secara peribadi, menganggap Tan Sri sebagai sahabat, sebagai rakan seperjuangan dan bekas ahli parti yang sangat berjasa. Berjasa pada UMNO, berjasa pada Pagoh dan Johor. Berjasa pada agama dan negara.
6. Beliau sudah lama mengabdikan dirinya untuk perjuangan agama dan bangsa melalui UMNO. Bukan sehari atau semalam dua. Tetapi, sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.
7. Jadi tidak pelik kalau Tan Sri Muhyiddin adalah seorang yang sangat dekat di hati, sangat dikasihi dan disanjungi oleh warga Pagoh.
8. Dalam hal ini, UMNO Johor berpendirian bahawa, walau apa pun yang telah terjadi antara Tan Sri Muhyiddin dengan UMNO, kita tidak akan sesekali melupakan jasa beliau selama ini.
9. Kita pasti akan mengenangnya. Kita tidak akan melupakan sahabat. Kita akan terus mendoakan semua orang yang pernah berbuat baik dan berjasa pada kita.
10. Kerana, inilah cara kita di Johor. Johor yang mengamalkan politik matang, politik berpendirian.
11. Dan yang lebih penting, kita tidak akan sesekali membakar segala jambatan persaudaran dan tali persahabatan antara kita, hanya kerana khilaf politik. Hanya kerana perbezaan pandangan dan pendirian.
12. Kita mesti terbuka dan menerima hakikat. Bahawa Tan sri Muhyiddin telah memilih jalan berlainan. Beliau memilih haluan sendiri. Haluan yang lebih selesa dan sesuai dengan pendirian dan prinsip beliau.
13. Dan kita pula memilih untuk setia dengan pendirian dan prinsip kita. Setia dengan haluan dan kesatuan kita. Tanpa mengalah dan berputus asa dengan segala cabaran dan kesukaran yang terpaksa kita tempuhi.
14. Bukan kerana kita ini feudal. Bukan kerana kita mendambakan kuasa, kedudukan atau pengaruh. Bukan.
15. Tetapi kerana hidup berprinsip dan berpendirian itu adalah mulia. Harus kita berpijak di tanah. Dengan tegas, dengan tetap, dengan berpendirian.
16. Janganlah kita sesekali meminjam resmi kiambang. Yang hidupnya hanya terapungan di permukaan air. Sekadar mengikut gelombang. Akarnya tak cecah ke bumi. Pucuknya jauh menggapai awan.
17. Dan yang lebih penting, kita memilih pendirian ini bukan kerana suka-suka. Tetapi kerana kita mempunyai sebab-sebab kita yang tersendiri. Yang hanya kita tahu dan faham.
18. Pertama, kerana UMNO ini, wadah yang kita sendiri bina.
19. Wadah yang meletakkan kita semua ini pada kedudukan sekarang. Kedudukan terbaik dalam sejarah pembangunan bangsa Melayu. Malah dalam sejarah perjalanan kita sebagai sebuah negara moden yang stabil.
20. Wadah inilah yang memberikan kita nikmat kemerdekaan. Wadah inilah yang memberikan makna pada sebuah kebebasan dan harga diri.
21. Wadah inilah yang membolehkan pelbagai dasar, pelbagai program, pelbagai insentif, diperkenalkan untuk memajukan orang Melayu. Membangunkan bangsa dan agama.
22. Jadi, mana mungkin kita sanggup meninggalkan wadah ini begitu sahaja. Hanya kerana ada pergeseran. Hanya kerana ada perbezaan.
23. Kita ini bukan anak-anak kecil. Yang menyangka bahawa hidup ini hanyalah tentang kegembiraan dan perkara-perkara yang manis. Kita bukan anak-anak kecil yang melihat perbezaan itu sebagai permusuhan yang hakiki.
24. Kita ini adalah generasi pewaris kepada sebuah wadah yang mengumpul kekuatan dan kesatuan orang Melayu.
25. Walau apapun perbezaannya dan biar sehebat manapun ribut dan gelora politik yang melanda, wadah inilah yang selama ini menjadi pengikat untuk kita bergerak. Dalam kerangka demokrasi dan membentuk Malaysia yang moden dan berkemajuan.
26. Lalu, mana mungkin wadah UMNO ini, boleh kita buang dan tinggalkan begitu sahaja.
27. Kedua, pemimpin datang dan pergi, tetapi UMNO Johor, insyaAllah, akan kita pertahankan.
28. Dalam politik, ia sudah menjadi lumrah. Bahawa akan ada sahaja pemimpin yang memilih untuk meninggalkan kita. Sudah resam. Akan ada yang datang. Akan ada yang pergi. Akan ada yang meninggalkan. Akan ada yang tewas.
29. Namun yang pasti, semua pemimpin, semua ahli, mesti sedar bahawa UMNO ini bukan milik peribadi. Ia juga bukan kisah tentang seorang individu.
30. Ia adalah institusi, yang lebih basar dari mana-mana kehebatan seorang pemimpin. Ia lebih gah dari pesona hebat seorang negarawan.
31. Maka berlapang dadalah bila ada pemimpin yang tidak lagi bersama kita. Bersabarlah.
32. Tidak ada siapa yang kekal selama-lamanya. Ingat saudara-saudari, Rasulallah SAW juga wafat dan meninggalkan kita. Tapi Islam itu tetap sampai kepada kita, menerangi nurani kita, memuliakan darjah keinsanan kita.
33. Demikian jugalah dengan UMNO. Pengasasnya telah lama pergi. Ribuan pemimpin dan pendukung terhebatnya juga telah berpulang, meninggal atau tersingkir. Namun UMNO kekal sehingga kini, dari generasi ke generasi, zaman ke zaman.
34. Dengan membawa pencerahan, dengan menyeru kepada persaudaraan dan dengan ideologinya yang murni. Untuk mencipta kebaikan pada bangsa dan agama.
35. Ketiga, kalau kita selaku orang Melayu, ahli UMNO, tidak mempertahankan UMNO, siapa lagi yang akan melakukannya?
36. Sejak kita merdeka sehinggalah hari ini, Malaysia sudah menyaksikan pelbagai kejayaan dan kemajuan. Dan kita sedar, kesemua ini adalah hasil sumbangan besar dan perjuangan tulus para pendiri bangsa terdahulu.
37. Namun, kebanyakan kita hari ini hanya mampu mendengar sahaja tentang mereka. Tentang perjuangan mereka, tentang cerita kerja keras mereka serta doa mereka untuk bangsa dan tanahair ini.
38. Kita tidak pernah bertemu dan tidak akan pernah dapat bersua wajah dengan mereka.
39. Namun, satu-satunya perkara yang masih ada, yang menghubungkan kita dengan mereka, selain daripada tanahair yang merdeka dan makmur ini, adalah UMNO. UMNO adalah merupakan warisan dan peninggalan dari mereka untuk kita.
40. Sebagai sebuah wadah plitik Melayu moden, yang bukan sekadar untuk ditatap dan dikenang-kenang. Tetapi untuk terus diperjuangkan. Agar kekal, agar berkelangsungan. Agar ia dapat terus berbakti kepada bangsa, agama dan tanahair ini.
41. Maka, kepada seluruh orang Melayu, hanya satu seruan dan peringatan dari saya. Betapa kita punya tugas dan tanggungjawab. Untuk terus mempertahankan parti ini.
42. Kerana membela dan mendukung sebarang pergerakan yang membaiki watan, dengan perjuangan agama itu sendiri, bukanlah kutub yang terpisah.
43. Dalam dunia yang semakin berubah. Dengan persekitaran yang semakin global. Sudah tidak ramai lagi yang mempunyai perasaan yang sentimental dengan UMNO.
44. Janganlah kita lupa, pelita UMNO inilah yang selama ini menerangi kita. Dan hanya kerana nyalaan pelita ini semakin malap, janganlah kita mengambil jalan mudah untuk terus memadamkannya sahaja.
45. Terpadam dan dibiar menjadi sekadar perhiasan di dinding-dinding khutub khanah, atau ditatap ceritanya dalam cerita buku sejarah.
46. Maka kalau kita, ahli UMNO, juga mahu terus menerus marahkan UMNO, mahu meninggalkan UMNO, mahu melupakan UMNO, maka siapa lagi yang akan tinggal untuk membela dan mempertahankan UMNO ini?
Tuan-tuan dan Puan-puan;
47. Suatu ketika dulu, saya sendiri pernah hampir tersingkir dari UMNO. Saya pernah diberikan surat tunjuk sebab untuk menjawab kenapa tindakan disiplin tidak perlu diambil terhadap saya. Guru dan mentor politik saya sendiri, Tan Sri Shahrir pula digantung.
48. Kami tidak tahu apa kesalahan kami pada waktu itu. Tapi kami setia dengan UMNO. Kami tidak pernah meninggalkan UMNO.
49. Sebaliknya, kami membina semula keyakinan kepada UMNO dan bersungguh-sungguh mempertahankan keahlian kami dari UMNO.
50. Kerana kami amat yakin, bahawa UMNO itu bukan masalah sebenar. Parti tidak bersalah.
51. Tetapi hanya orang-orang tertentu yang menjadi punca masalah. Dan segelintir orang-orang tertentu yang menjadi punca itu tidak seharusnya dianggap mewakili UMNO secara keseluruhannya. Tidak seharusnya menjadi sebab untuk kita pula yang meninggalkan UMNO.
52. Jadi sebab itulah bila saya hadir pada hari ini, saya sangat mengerti perasaan tuan-tuan dan puan-puan. Ada yang masih bersedih, ada yang marah, ada yang juga sudah mula bergerak ke hadapan dan segera meninggalkan kemelut ini di belakang.
53. Biar apa pun perasaan dan sentimen yang tuan-tuan rasakan, kesemuanya adalah sesuatu yang kita hormati dan fahami.
54. Akan tetapi, saya sekadar ingin menyatakan dengan jelas. Kita harus mula menerima hakikat bahawa Tan Sri Muhyiddin telahpun memilih jalan lain.
55. Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan tindakan tersebut, UMNO ini janganlah sesekali kita korbankan.
56. Nasihat saya, janganlah kita terbawa-bawa dengan perasaan dan sentimen kita. Risalah UMNO ini lebih besar dari pesona mana-mana pemimpin. Perjuangkan risalah ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
57. Saya hadir hari ini pun kerana saya ingin menjadi penengah. Tugas saya ialah untuk berusaha mencari jalan terbaik, jalan damai, jalan yang meredakan segala amarah. Di Pagoh ini.
58. Dan saya ingin sekali mengajak semua yang hadir. Marilah kita kembali kepada landasan yang telah kita sepekati dari dahulu.
59. Bahawa UMNOlah satu-satunya wadah yang mesti kita perjuang dan pertahankan. Biar apa pun perbalahan antara kita.
60. Kerana UMNO yang lemah akan menyebabkan Malaysia lemah. UMNO yang kucar kacir akan menyebabkan negara tercicir. UMNO yang tercedera, akan melumpuhkan perjalanan pembangunan tanah air kita.
61. Lebih-lebih lagi sekarang ini. Saat negara berhadapan dengan begitu banyak sekali cabaran yang kompleks, besar dan luar biasa. Baik dari aspek politik kepada isu ekonomi, daripada aspek kesejahteraan sosial sehinggalah kepada krisis kepimpinan.
62. Dalam keadaan sebegini, sudah pastilah Malaysia memerlukan pencerahan dan inspirasi politik yang mampu memimpin kita untuk mendepani semua cabaran ini.
63. Malaysia memerlukan ‘kebangkitan nasional’. Di mana seluruh Malaysia, berpadu, bersekutu, sebagai sebuah bangsa, mewujudkan kesejahteraan yang lebih baik untuk Malaysia.
64. Dan ini hanya boleh berlaku melalui tindakan politik.
65. Kerana hanya inspirasi politik sahaja yang akan mampu mencipta kebangkitan nasional untuk memacu kejayaan Malaysia yang lebih besar, lebih hebat, lebih bersatu.
66. Dan ia mesti datang dari UMNO. UMNO yang lebih berpadu. UMNO yang lebih moden. UMNO yang lebih berkemajuan.
67. Jadi, marilah kita gembleng segala kudrat yang kita ada. Untuk kembali bertaut. Kembali berpadu. Bagi memastikan UMNO itu menjadi lebih berkemajuan. Lebih berdaya saing. Tidak berpecah-belah.
68. Dan UMNO yang sebegini dapat menjadi inspirasi kepada segala pencerahan yang Malaysia perlukan. Dan melalui inspirasi ini, Malaysia akan mampu menangani segala cabaran yang mendepaninya.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
69. Ramai sekali yang memberitahu saya. UMNO ini sudah tersasar. Ramai yang putus harapan dengan UMNO. Ramai yang merasakan perjuangan UMNO sudah sangat jauh dari nadi sebenar ideologinya.
70. Dan mereka berpandangan bahawa UMNO berada di persimpangan paling getir dalam hayat kewujudannya.
71. Saya mendengar ini semua dengan berlapang dada. Saya juga mengakui banyak kebenaran dari ini semua. Tetapi sekadar mengungkapkan berkali-kali segala kelemahan ini, tidak akan menyelesaikan masalah.
72. Malah meninggalkan UMNO juga bukanlah alternatif yang akan menjernihkan keadaan.
73. Lalu kita hanya ada satu pilihan iaitu memulihkan kembali wibawa UMNO ini. Sedikit demi sedikit. Setapak demi setapak.
74. Kerana, adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk kita meninggalkan UMNO begitu sahaja setelah apa yang UMNO berikan kepada kita semua. Setelah kita menikmati segala kebaikan dari wadah ini.
75. Kerana itulah di Johor ini, jalan kita ialah jalan pengislahan. Kita ingin mencipta aliran baru dalam UMNO. Kecergasan baru. Citra baru. Dan kita sedang giatkan pelbagai ikhtiar untuk itu.
76. Kerana kita sangat yakin, banyak lagi bait-bait yang baik dalam UMNO ini. Banyak lagi keunggulan yang tidak terlihat dan tertonjol.
77. Barangkali kerana kita terlalu sering menggunakan watak dan peribadi beberapa pemimpin UMNO sahaja, sebagai rujukan dan sandaran untuk kita menyimpulkan bahawa UMNO itu sudah tersasar.
78. Pastinya hujah seperti itu sangat tidak mencukupi untuk menghukum UMNO secara keseluruhan. Kerana seperti yang saya nyatakan dari awal, dan dalam banyak forum sebelum ini, UMNO itu lebih besar dari pesona beberapa orang pemimpinnya.
79. Kerana itulah, UMNO Johor gigih dalam usaha pengislahan UMNO ini.
80. Agar ia kembali didukung oleh bakat terbaik. Kembali diuruskan dengan sistem termaju. Dan kembali memfokuskan kepada memberi khidmat dan dharmabakti paling luhur pada bangsa.
81. Semoga, dengan doa-doa mereka yang soleh, yang pernah dibantu oleh UMNO, yang mendapat kebaikan dari perjuangan UMNO, akan terjelmalah keberkatan yang akan menyerlahkan sisi baik UMNO sebagai sebuah pergerakan siasah.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
82. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya mengajak semua ahli UMNO Pagoh, untuk terus mendukung UMNO. Mendukungnya dengan keberanian, dengan kebenaran, dengan prinsip.
83. Bersetialah dalam UMNO tanpa takut untuk berkata benar. Bersetialah dalam UMNO dengan tidak mengorbankan prinsip kita. Bersetialah dalam UMNO dengan teguh pada pendirian.
84. Ingatlah kata kata Almarhum Pramoedya Ananta Toer, sasterawan ulung Indonesia betapa “Dalam hidup, cuma ada satu yang kita punyai, iaitu keberanian. Kalau itu kita tidak punyai, apalah harga hidup ini”.
Sekian, terima kasih.
Ends.
Nordin Kardi

Cinta Allah Adalah Cinta Yang Kekal Abadi Selamanya